Panduan · Dikemas kini:
Cara buat sistem tempahan online: 3 cara, kos dan apa yang sistem mesti urus
Ada 3 cara buat sistem tempahan online: guna Google Form dan Google Sheet secara percuma, langgan booking app bulanan seperti SimplyBook.me atau Setmore, atau bina sistem tempahan sendiri. Kalau tempahan baru beberapa seminggu, cara percuma dah cukup. Bila anda perlukan kuota slot, deposit dan peringatan WhatsApp yang ikut cara bisnes anda, sistem custom lebih berbaloi.
Cara 1: Percuma: Google Form + Google Sheet
Atau AppSheet untuk rupa macam app
- Kos
- RM0. AppSheet percuma untuk bina dan uji; app awam untuk pelanggan perlukan Publisher Pro USD50 sebulan setiap app.
- Sesuai untuk
- Bisnes baru, beberapa tempahan seminggu, satu orang yang urus.
Cara 2: Langgan booking app bulanan
Contohnya SimplyBook.me atau Setmore
- Kos
- Ada pelan percuma. SimplyBook.me Basic €11.9 sebulan (bayar tahunan); Setmore Pro USD5 seorang pengguna sebulan (bayar tahunan).
- Sesuai untuk
- Salon, klinik, kelas dan konsultan yang ambil temujanji ikut slot masa biasa.
Cara 3: Bina sistem tempahan sendiri (custom)
Dibina ikut cara bisnes anda
- Kos
- Dari RM5,000 sekali bayar di Miracle Mikhael, care plan RM150 sebulan (pilihan), tambah caj gateway setiap bayaran.
- Sesuai untuk
- Bila tempahan ada kuota, deposit dan baki, peringatan WhatsApp atau aliran yang app biasa tak boleh ikut.
Ditulis oleh Wan Nabil, yang bina sistem tempahan dan pesanan untuk bisnes kecil di Malaysia. Harga booking app disemak di laman harga setiap syarikat pada 17 November 2026; harga dalam euro dan dolar AS, jadi jumlah dalam ringgit berubah ikut kadar tukaran.
Apa itu sistem tempahan online?
Sistem tempahan online ialah satu link di mana pelanggan pilih servis, tarikh dan masa sendiri, dan pemilik nampak semua tempahan dalam satu senarai. Ia ganti cara lama: pelanggan tanya slot di WhatsApp, pemilik semak buku atau kalendar, balas, kemudian tunggu bukti bayaran. Sistem tempahan online boleh jadi borang percuma, app yang dilanggan setiap bulan, atau sistem yang dibina khas untuk satu bisnes.
6 perkara yang sistem tempahan online mesti urus: slot, deposit, pembatalan
Sebelum pilih cara, senaraikan apa yang sistem tempahan anda perlu buat. Ni 6 perkara yang kami bina dalam hampir setiap sistem tempahan. Tiga yang pertama jaga slot dan duit anda.
1. Slot dan kapasiti
Sistem tempahan mesti tahu berapa tempahan boleh diterima untuk satu tarikh atau satu masa, dan tutup slot tu sendiri bila penuh. Dalam sistem tempahan kek yang kami bina, pemilik tetapkan kuota sehari dan tarikh tu tutup sendiri bila kuota penuh. Untuk bengkel kereta, slot ikut waktu buka dan bilangan bay. Untuk homestay, sistem beri amaran kalau tarikh tempahan bertindih.
2. Deposit dan bayaran
Sistem tempahan perlu tunjuk setiap tempahan dah bayar deposit ke belum, dan berapa baki. Ada dua cara: pelanggan muat naik bukti DuitNow atau transfer dan pemilik semak sendiri, atau bayaran FPX melalui payment gateway yang sahkan bayaran secara automatik. Caj FPX di gateway tempatan sekitar RM1.00 hingga RM1.25 setiap bayaran.
3. Pembatalan dan tukar tarikh
Polisi pembatalan dan tukar tarikh patut tertulis di page tempahan sebelum pelanggan tekan hantar: berapa hari notis, dan deposit dipulangkan atau tidak. Bila tempahan dibatalkan, sistem tempahan mesti buka semula slot tu supaya orang lain boleh ambil. Dalam sistem tempahan bengkel yang kami bina, setiap tempahan boleh ditanda Siap atau No-show.
Sistem tempahan online: peringatan, rekod pelanggan dan laporan
Tiga perkara lagi yang sistem tempahan online perlu urus jaga pelanggan supaya datang, dan beri pemilik gambaran yang jelas.
4. Peringatan kepada pelanggan
Sistem tempahan yang baik ingatkan pelanggan sebelum tarikh tempahan. Booking app seperti SimplyBook.me dan Setmore hantar emel peringatan automatik. Dalam sistem yang kami bina, pemilik tekan satu butang dan WhatsApp terbuka dengan mesej yang dah siap ditaip, kemudian pemilik tekan hantar sendiri. Mesej WhatsApp yang keluar automatik tanpa ditekan perlukan WhatsApp Business Platform, dan Meta caj setiap mesej yang sampai.
5. Rekod pelanggan
Setiap tempahan patut simpan nama, nombor telefon, servis dan sejarah tempahan pelanggan dalam satu senarai, bukan berselerak dalam chat. Simpan hanya maklumat yang betul-betul perlu. Semua sistem tempahan yang kami bina boleh export ke CSV bila-bila masa, supaya data tu kekal milik bisnes.
6. Laporan ringkas
Pemilik perlu nampak gambaran besar dari sistem tempahan: tempahan hari ini dan esok, deposit yang belum masuk, dan pelanggan yang tak datang. Dalam sistem tempahan bengkel yang kami bina, laporan 30 hari tunjuk berapa peringatan dihantar, berapa tempahan masuk dari pautan, dan berapa pelanggan datang balik.
Untuk bahagian bayaran dalam sistem tempahan, panduan penuh ada di cara integrate FPX ke website: caj setiap gateway, aliran callback, dan kesilapan yang buat bayaran hilang.
Cara buat sistem tempahan percuma dengan Google Form
Untuk mula tanpa kos, sistem tempahan paling ringkas ialah Google Form yang disambung ke Google Sheet. Ia boleh siap dalam masa sejam:
- Buat Google Form dengan soalan nama, nombor telefon, servis, tarikh dan masa.
- Sambungkan borang tu ke Google Sheet supaya setiap tempahan masuk sebagai satu baris.
- Kongsi link borang di bio Instagram, status WhatsApp dan Google Business Profile.
- Semak Sheet setiap hari dan sahkan setiap tempahan dengan pelanggan melalui WhatsApp.
Kalau nak rupa macam app, AppSheet (dari Google) boleh tukar Sheet tu jadi app tempahan. Ia percuma untuk bina dan uji dengan sehingga 10 pengguna, tetapi app awam yang pelanggan buka tanpa log masuk perlukan pelan Publisher Pro, USD50 sebulan untuk setiap app.
Di mana sistem tempahan Google Form mula rosak
Google Form tak tahu slot mana dah penuh. Setiap jawapan cuma jadi satu baris dalam Sheet, jadi dua pelanggan boleh pilih slot 10 pagi yang sama dan anda hanya perasan bila semak. Borang tu juga tak terima bayaran, jadi deposit masih dikejar melalui WhatsApp, dan tiada peringatan dihantar sebelum hari tempahan. Bila tempahan naik ke belasan seminggu, atau lebih dari seorang staf yang urus, sistem tempahan Google Form biasanya mula terlepas tempahan dan bertindih.
Bila booking app bulanan dah cukup untuk sistem tempahan anda
Booking app seperti SimplyBook.me dan Setmore beri page tempahan, kalendar staf dan emel peringatan tanpa perlu coding. Kedua-duanya ada pelan percuma. SimplyBook.me percuma untuk 50 tempahan sebulan dengan seorang staf, dan pelan Basic €11.9 sebulan (bayar tahunan) beri 100 tempahan, 5 staf, serta pilihan bayaran dan deposit. Setmore percuma untuk sehingga 4 pengguna, tetapi deposit dan borang tempahan hanya ada dalam pelan Pro, dari USD5 seorang pengguna sebulan.

Booking app sesuai bila tempahan anda ialah temujanji biasa: satu servis, satu staf, satu slot masa. Ia mula rasa sempit bila bisnes anda ada kuota harian, pre-order bermusim, deposit dan baki, atau pelanggan dan staf yang lebih selesa dengan Bahasa Melayu dan WhatsApp daripada emel. Caj langganan juga berulang setiap bulan selagi anda guna, dan ada app yang caj ikut bilangan staf.
Kos sistem tempahan online: 3 cara dibanding
Ringkasan kos sistem tempahan untuk setiap cara, dari laman harga setiap syarikat pada 17 November 2026 dan harga yang diterbitkan Miracle Mikhael. Kira jumlah untuk dua atau tiga tahun, bukan bulan pertama sahaja.

Bila patut upah orang bina sistem tempahan custom
Sistem tempahan custom berbaloi bila sekurang-kurangnya satu daripada ni benar untuk bisnes anda:
- Aliran tempahan anda tak muat dalam app biasa: kuota sehari, sewa ikut hari, pre-order musim raya, atau deposit dan baki.
- Anda nak pelanggan bayar dengan FPX atau DuitNow, dan status bayaran terus kemas kini tempahan.
- Pelanggan dan staf lebih selesa dengan Bahasa Melayu dan WhatsApp.
- Caj langganan ikut bilangan staf dah jadi mahal setiap bulan.
- Anda nak data pelanggan dan tempahan kekal milik bisnes anda sendiri.
Jangan upah dulu kalau tempahan masih sedikit atau anda belum pasti cara kerja yang betul. Mula dengan Google Form atau pelan percuma booking app, tengok di mana ia tersangkut, kemudian bawa senarai tu kepada developer. Senarai masalah sebenar buat sebut harga sistem tempahan lebih tepat dan lebih murah.
Nak kami bina sistem tempahan untuk bisnes anda?
Miracle Mikhael ialah studio kecil di Selangor yang dijalankan oleh Wan Nabil. Kami bina sistem bisnes custom seperti sistem tempahan, pendaftaran dan invois, dengan bayaran FPX dan mesej WhatsApp. Sistem custom bermula dari RM5,000 dan biasanya siap dalam 3 hingga 8 minggu, ikut skop. Anda dapat sebut harga bertulis yang tetap sebelum kerja bermula. Nak bandingkan dengan harga website? Baca kos buat website di Malaysia.
Sumber harga sistem tempahan dalam panduan ni
Semua harga sistem tempahan (booking app dan AppSheet) di page ni disemak di sumber berikut pada 17 November 2026: