Panduan · Dikemas kini:
Cara buat website jualan sendiri, tanpa tinggalkan Shopee dan TikTok Shop
Cara paling selamat buat website jualan sendiri ialah kekalkan kedai Shopee atau TikTok Shop, dan tambah website untuk pelanggan ulangan dan trafik dari iklan atau WhatsApp anda. Pilih satu dari 3 cara ikut bajet (pembina percuma dengan link bayaran, Shopify atau WooCommerce, atau website custom) dan sambung gateway FPX tempatan. Atas satu jualan tudung RM100, marketplace potong sekitar RM19.23 hingga RM22.68; website sendiri dengan FPX potong RM1.00 hingga RM1.25. Tapi website ada kos bulanan, dan anda kena bawa pembeli sendiri.
Ditulis oleh Wan Nabil, yang bina website, kedai online dan sistem bayaran untuk bisnes kecil di Malaysia. Caj platform disemak pada laman rasmi masing-masing pada 23 November 2026.
Caj Shopee dan TikTok Shop vs website sendiri: kiraan jualan RM100
Contoh: anda jual tudung RM100 sebagai penjual biasa (tak sertai program cashback Shopee atau BXP TikTok), tanpa caj pos dan tanpa diskaun. Inilah yang dipotong sebelum duit sampai ke anda, sebelum kos barang dan pembungkusan:

| Di mana anda jual | Dipotong (RM100) | Dari mana angka ini |
|---|---|---|
| Shopee (kategori Fesyen, penjual biasa) | RM19.44 – RM22.68 | Komisen 14% – 17% + SST 8%, yuran transaksi 3.78%, Platform Support Fee RM0.54 |
| TikTok Shop (Tudung, penjual biasa) | RM19.23 | Komisen 14.91%, yuran transaksi 3.78%, Platform Support Fee RM0.54 |
| Shopify Basic + Billplz (FPX) | RM3.55 | Shopify 2% + Billplz 0.3% + FPX RM1.25, ditambah langganan RM99 sebulan + SST |
| Website sendiri + Billplz Basic (FPX) | RM1.25 | RM1.25 rata setiap bayaran, plan percuma |
| Website sendiri + toyyibPay (FPX) | RM1.00 | RM1.00 rata setiap bayaran, plan Standard |
Beberapa perkara mengubah kiraan ini. Komisen Shopee ikut kategori: Fesyen ialah 14% hingga 17% (tambah SST 8%) untuk penjual biasa, dan hanya dikenakan selepas produk pertama anda disenaraikan lebih 120 hari atau selepas 200 pesanan, yang mana dulu. Shopee juga kecualikan Platform Support Fee untuk penjual baru (60 hari pertama) dan penjual kecil (sehingga 100 pesanan bersih dalam 30 hari). Di TikTok Shop, pesanan yang dibayar dengan TikTok PayLater dikenakan yuran transaksi lebih tinggi. Semak kadar kategori anda sendiri di laman rasmi yang kami senaraikan di bawah.
Kos bulanan pula: Shopify Basic RM106.92 sebulan termasuk SST. Dengan beza caj setiap pesanan berbanding TikTok Shop di atas, anda perlukan kira-kira 7 pesanan RM100 sebulan dari website untuk tampung langganan itu. Untuk website custom dengan care plan RM150 sebulan, kira-kira 9 pesanan. Nak kira caj gateway ikut jumlah dan bilangan bayaran anda sendiri? Guna kalkulator caj FPX. Pecahan caj Shopify yang lebih panjang ada dalam panduan caj kedai online Malaysia (English).
Cara buat website jualan online: 3 pilihan ikut bajet
1. Percuma: pembina website + link bayaran
RM0 untuk mula, caj gateway setiap bayaran
Bina satu page di Canva atau Google Sites, senaraikan produk dan harga, dan letak butang Beli yang buka link bayaran dari gateway tempatan (Billplz ada Catalog Link dan Catalog Store percuma, caj ikut kadar FPX biasa) atau WhatsApp anda. Sesuai kalau anda jual 1 hingga 5 produk dan proses pesanan sendiri.
2. Kedai siap: Shopify atau WooCommerce
Shopify Basic RM99 sebulan (RM89 kalau bayar tahunan) + 2% guna payment provider luar
Troli, stok, varian (saiz, warna) dan caj pos dah tersedia. Shopify paling cepat untuk mula. WooCommerce ialah plugin kedai untuk WordPress: anda urus hosting, plugin dan kemas kini sendiri. Kedua-duanya boleh terima FPX melalui gateway tempatan: Billplz untuk Shopify (caj Billplz + 0.3%), dan toyyibPay ada plugin WooCommerce.
3. Website custom
Kedai kecil yang terima bayaran: anggaran RM6,500 – RM9,800, care plan RM150 sebulan (pilihan)
Dibina ikut cara bisnes anda: contohnya pesanan pukal, harga ejen, tempahan dengan deposit, atau sambungan terus ke sistem stok. Tiada yuran peratus platform; anda cuma bayar caj gateway setiap bayaran. Berbaloi bila aliran jualan anda tak muat dalam template kedai biasa.
Cara 3 dikira dengan kalkulator harga website kami (1 hingga 5 page, dengan bayaran online). Perbandingan harga web design yang lebih luas ada dalam panduan kos buat website di Malaysia.
Cara buat website sendiri guna Canva: boleh terima bayaran?
Website Canva sesuai untuk page jualan yang cantik dan cepat siap: anda boleh terbitkan sehingga 5 website percuma di domain Canva, dan domain sendiri perlukan Canva Pro, Teams atau Education. Tapi Canva sendiri menyatakan e-commerce belum disokong: tiada troli, tiada checkout dan tiada payment gateway terbina dalam.

Jalan keluarnya: buat butang Beli dalam design Canva yang buka link bayaran dari gateway tempatan, atau buka WhatsApp dengan mesej siap ditulis. Pembeli bayar di page gateway, dan anda padankan bayaran dengan pesanan sendiri. Ini cukup untuk beberapa produk dan pesanan yang sedikit. Bila pesanan banyak, kerja padan bayaran secara manual itulah yang buat peniaga beralih ke kedai sebenar. Untuk susunan page jualan yang meyakinkan, lihat contoh landing page jualan.
Apa website jualan sendiri perlu ada (selain cantik)
1. Page produk yang jelas
Gambar sebenar, harga, stok atau tarikh siap, dan pilihan saiz atau warna. Pembeli yang datang dari iklan tak boleh tanya dulu macam dalam chat marketplace.
2. Bayaran FPX dan DuitNow
Pembeli di Malaysia biasa bayar dengan FPX (online banking) atau DuitNow QR. Pastikan status pesanan bertukar kepada Dibayar hanya bila gateway sahkan bayaran dari server ke server, bukan bila pembeli tekan butang.
3. Caj pos dan kurier
Kira caj pos ikut berat atau zon (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) dan tunjuk sebelum pembeli bayar. Di marketplace, platform buat ini untuk anda.
4. Pengesahan pesanan
E-mel atau mesej WhatsApp dengan nombor pesanan dan apa yang dibeli, supaya pembeli tak perlu tanya "dah sampai ke bayaran saya?".
5. Pilihan order melalui WhatsApp
Sesetengah pembeli tetap nak tanya dulu. Butang WhatsApp dengan mesej siap ditulis (nama produk dan saiz) kekalkan jualan itu.
6. Polisi pulangan dan privasi
Satu page ringkas: bila boleh pulang barang, siapa bayar pos pulangan, dan cara anda simpan data pembeli.
Bahagian bayaran paling kerap salah dibuat. Langkah dan kesilapan biasa ada dalam panduan cara integrate FPX ke website.
Kekalkan marketplace, tambah website: bila website jualan sendiri berbaloi
Marketplace bukan sekadar tempat bayar. Ia bawa pembeli yang memang sedang mencari, uruskan kurier, dan pembeli percaya pada sistem pulangannya. Website sendiri tak ada semua itu pada hari pertama. Sebab itu kebanyakan peniaga patut buat kedua-duanya, bukan pilih satu.
- Pelanggan ulangan yang dah kenal anda: hantar mereka ke website, bukan balik ke marketplace.
- Trafik dari iklan Facebook, TikTok atau status WhatsApp anda sendiri: anda dah bayar untuk pembeli itu.
- Produk yang margin keuntungannya nipis selepas caj platform hampir 20%.
- Jualan yang marketplace tak buat dengan baik: pesanan pukal, harga ejen, atau tempahan dengan deposit.
Kalau hampir semua pembeli anda datang dari carian dalam marketplace dan jarang membeli semula, mula dengan satu page percuma dulu dan ukur berapa pesanan yang datang sebelum melabur lebih.
Soalan lazim tentang website jualan sendiri
Cara buat website jualan online percuma?
Guna pembina website percuma seperti Canva atau Google Sites untuk satu page produk, kemudian sambung butang Beli ke link bayaran dari gateway tempatan (contohnya Catalog Link Billplz yang percuma, caj RM1.25 setiap bayaran FPX pada plan Basic) atau ke WhatsApp. Anda masih bayar caj gateway untuk setiap bayaran, dan domain sendiri biasanya perlukan plan berbayar.
Buat website ecommerce murah: berapa kos sebenar?
Ada dua jenis kos: kos tetap bulanan dan caj setiap jualan. Shopify Basic ialah RM99 sebulan (RM89 kalau bayar tahunan) ditambah 2% kalau guna payment provider luar. Website custom bermula dari RM1,500 untuk website biasa; kedai kecil yang terima bayaran online dianggarkan RM6,500 – RM9,800 dengan kalkulator kami. Caj FPX gateway tempatan sekitar RM1.00 hingga RM1.25 setiap bayaran.
Canva website boleh pasang payment gateway?
Tidak secara terus. Laman hosting Canva sendiri (disemak 23 November 2026) menyatakan e-commerce "is currently not supported". Cara yang biasa digunakan ialah butang dalam design Canva yang buka link bayaran dari gateway, atau WhatsApp. Pembeli bayar di page gateway, dan anda semak pesanan secara manual.
Cara buat website sendiri untuk peniaga online yang tak tahu coding?
Mula dengan satu page untuk produk paling laku, guna pembina website atau Shopify, dan sambung gateway FPX tempatan. Hantar pelanggan ulangan dan trafik iklan ke page itu, sambil kekalkan kedai marketplace. Bila pesanan dari website dah stabil setiap bulan, baru fikir tentang kedai yang lebih lengkap.
Perlu ke tutup kedai Shopee atau TikTok Shop bila dah ada website?
Tak perlu, dan kebanyakan peniaga tak patut. Marketplace bawa pembeli baru yang anda tak perlu cari sendiri. Website sendiri berbaloi untuk pelanggan ulangan, trafik dari iklan atau WhatsApp anda, dan produk yang margin keuntungannya nipis selepas caj platform.
Nak kami bina website jualan untuk bisnes anda?
Miracle Mikhael ialah studio kecil di Selangor yang dijalankan oleh Wan Nabil. Kami bina website dan kedai online dengan bayaran FPX tempatan. Website bermula dari RM1,500, kedai kecil yang terima bayaran dianggarkan RM6,500 – RM9,800, dan care plan RM150 sebulan (pilihan). Anda dapat sebut harga bertulis yang tetap sebelum kerja bermula. Kalau aliran jualan anda lebih rumit, lihat sistem bisnes custom.
Sumber caj platform dan fakta Canva dalam panduan ni
- Shopee MY: Fees for Local Shopee Sellers (yuran transaksi, Platform Support Fee, jadual komisen)
- Shopee MY: Platform Support Fee (pengecualian penjual baru dan kecil)
- TikTok Shop MY: Commission Fee & Seller Fees Calculations
- TikTok Shop MY: Platform Support Fee
- Shopify Malaysia: harga plan
- Billplz: harga
- toyyibPay: harga
- Canva: free website hosting (FAQ e-commerce)
- Canva Help: Canva Websites (domain sendiri)